04/07/2025 | Press release | Distributed by Public on 04/07/2025 17:09
MALAYSIA ANJUR ARF EEPs KE-17 UNTUK MEMPERKASA DIPLOMASI
PENCEGAHAN
Malaysia akan menghoskan Mesyuarat Pakar dan Tokoh Terkemuka Forum Serantau ASEAN (ARF EEPs) yang ke-17 dari 7 hingga 8 April 2025 di Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, EEP Malaysia bersama Dr. Choi Yoon Jung, EEP Republik Korea.
Mesyuarat ini merupakan platform penting di bawah kerangka ARF bagi para pakar dasar dan pemikir strategik untuk berkongsi dapatan utama serta merumuskan cadangan praktikal bagi memperkukuh keamanan dan keselamatan serantau. Selain itu, perbincangan akan memberikan tumpuan khusus kepada kesan serantau daripada tarif terbaharu Amerika Syarikat. Ini sejajar dengan keinginan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk satu tindak balas yang telah diselaraskan dan dipertimbangkan dengan teliti, sekali gus memelihara kestabilan kawasan serantau. Kementerian ini melihat platform ini sebagai peluang strategik untuk mengetengahkan perspektif pakar dalam menyokong agenda diplomasi pencegahan ASEAN yang semakin berkembang.
Mesyuarat tahunan ini menghimpunkan tokoh pemikir serta pakar dasar kanan dari Negara-Negara Peserta ARF untuk menghasilkan cadangan yang berpandangan jauh berhubung kerjasama keselamatan serantau dan pendekatan diplomasi pencegahan.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menjadikan mesyuarat ini sebagai wadah untuk mendapatkan pandangan dan saranan yang boleh diterjemahkan kepada dasar serta memacu kerjasama serantau. Perbincangan akan menumpukan kepada penilaian semula Pelan Tindakan Diplomasi Pencegahan ARF, dinamika keselamatan serantau, serta langkah ke hadapan melalui sesi khas bertajuk "Beyond 30: Revitalising the ARF." Pendekatan ini selaras dengan visi ASEAN 2025 Malaysia dalam membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan. Hasil perbincangan ini akan digunakan bagi merangka keutamaan Malaysia dalam tonggak politik-keselamatan ASEAN serta menyumbang secara bermakna kepada perbincangan ARF pada masa hadapan.
Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap multilateralisme, konsensus dan dialog yang membina. Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Malaysia percaya bahawa dialog, pembinaan kepercayaan dan diplomasi pencegahan harus kekal sebagai teras tindak balas kolektif ASEAN demi menjamin keamanan, persefahaman bersama dan kemakmuran yang dikongsi.
PUTRAJAYA
7 April 2025