Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/21/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/22/2024 17:34

MAJLIS PELANCARAN LOGO DAN TEMA KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025 22 OKTOBER 2024

MAJLIS PELANCARAN LOGO DAN TEMA KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025

22 OKTOBER 2024

Hari ini, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah melancarkan logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Wisma Putra.

Majlis Pelancaran hari ini telah dihadiri oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, (Menteri Penyelaras untuk Tonggak Ekonomi ASEAN); YB Dato' Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, (Menteri Penyelaras untuk Tonggak Sosiobudaya ASEAN); dan YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri. Turut hadir adalah Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Ketua-ketua Perwakilan Asing di Malaysia, wakil-wakil Pertubuhan Antarabangsa dan wakil-wakil media.

Logo dan tema, "Keterangkuman dan Kemampanan," telah diperkenalkan secara rasmi oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri semasa Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada 11 Oktober 2024 di Vientiane, Lao PDR, di mana Malaysia telah mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Lao PDR. Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025.

Dalam ucaptama beliau, YB Menteri Luar Negeri menyatakan bahawa Malaysia berbesar hati untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dengan menerajui Persatuan ini dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Malaysia akan berusaha untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN, membina kepercayaan strategik di kalangan negara melalui dialog yang berterusan, diplomasi dan kemuafakatan, mempromosi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta memastikan elemen keterangkuman dan kemampanan menjadi fokus utama dalam usaha-usaha pembangunan komuniti serantau.

YB Menteri Luar Negeri turut menegaskan bahawa tahun 2025 merupakan tahun bersejarah bagi ASEAN dalam meraikan ulang tahunnya ke-10 bagi penubuhan rasmi Komuniti ASEAN. Beliau juga menekankan bahawa tahun 2025 juga akan menjadi satu lagi pencapaian penting bagi ASEAN kerana ia akan menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan merangka hala tuju strategik ASEAN pada tahun-tahun mendatang. Beliau turut menyeru sokongan serta kerjasama berterusan daripada semua Negara Anggota ASEAN dan Rakan-Rakan Luarnya

Semasa majlis tersebut, para hadirin turut diperkenalkan kepada logo rasmi Kepengerusian ASEAN 2025, yang telah direka oleh Encik Muhamad Khalis Syafiq bin Mohamad Nasir, pemenang pertandingan logo ASEAN yang diadakan awal tahun ini. Majlis diakhiri dengan tayangan montaj video Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang boleh diakses melalui laman sesawang Kementerian Luar Negeri di www.kln.gov.my.

PUTRAJAYA

22 Oktober 2024