Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/10/2025 | Press release | Distributed by Public on 04/09/2025 19:13

LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK TÜRKIYE DAN REPUBLIK AZERBAIJAN 10 – 16 APRIL 2025

LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK

TÜRKIYE DAN REPUBLIK AZERBAIJAN

10 - 16 APRIL 2025

YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri sedang mengadakan lawatan kerja ke Antalya, Republik Türkiye dari 10 hingga 13 April 2025 bagi menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) kali Ke-4. Beliau seterusnya akan menuju ke Baku, Republik Azerbaijan, dari 14 hingga 16 April 2025 untuk mempengerusikan Sesi Rundingan Politik Malaysia-Azerbaijan Ke-2.

ADF merupakan forum tahunan anjuran Kementerian Luar Negeri Republik Türkiye, di bawah naungan Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Republik Türkiye. YB Timbalan Menteri Luar Negeri telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk "ASEAN's Evolving Role at Regional and Global Levels". Semasa sesi ini, YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan menekankan peranan utama Malaysia dalam memupuk kepercayaan dan kebersamaan di kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN, selain turut terlibat secara konstruktif dengan kuasa besar global. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk mendokong sentraliti ASEAN dan memastikan neutraliti dalam interaksinya dalam ruang lingkup global yang dinamik.

Di sela-sela ADF 2025, YB Timbalan Menteri Luar Negeri dijadual bertemu rakan sejawat dan pihak berkepentingan yang lain untuk membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan sama.

Pada 15 April 2025 di Baku, Azerbaijan, YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan mempengerusikan Rundingan Politik Kedua antara Malaysia dan Republik Azerbaijan bersama Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Azerbaijan, TYT Elnur Mammadov.

Kedua-dua pihak akan menilai keseluruhan hubungan dua hala dengan tujuan memperkukuhkan lagi kerjasama, termasuk dalam bidang politik, ekonomi, konsular, serta hubungan antara rakyat. Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan global, dengan tujuan mengesahkan komitmen untuk meneruskan kerjasama dan rundingan antara kedua-dua negara.

Menyedari perkembangan positif hubungan dua hala Malaysia dan Republik Azerbaijan, kedua-dua pihak bertekad untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang kepentingan bersama.

PUTRAJAYA

10 April 2025