Celcomdigi Bhd

11/18/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/18/2024 21:29

CelcomDigi memperkasa penjawat awam menjadi komuniti advokasi kesedaran scam

PETALING JAYA, 18 NOVEMBER 2024 - Peningkatan kes scam, penipuan siber, buli siber, dan maklumat palsu dalam lanskap digital memerlukan pendekatan yang melibatkan seluruh masyarakat untuk melindungi komuniti dan membina daya bingkas dalam talian. Dalam usaha berterusan menangani wabak sosial scam ini, CelcomDigi Berhad ("CelcomDigi") telah melancarkan Bengkel Kesedaran Scam dan Keselamatan Dalam Talian yang disasarkan untuk memperkasa penjawat awam dan pemimpin komuniti menjadi advokat kesedaran scam dan keselamatan dalam talian.

Siri bengkel intensif ini menyasarkan kementerian-kementerian khusus yang berinteraksi secara langsung dengan pelbagai segmen masyarakat seperti Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan. CelcomDigi menjalankan siri bengkel ini dengan kerjasama pakar dari Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Yayasan Digital Malaysia, dan Meg Richy Psychotherapy Consultancy bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penipuan dan memperkukuh usaha keselamatan dalam talian di seluruh komuniti.

Bengkel ini menawarkan pandangan mendalam mengenai trend penipuan terkini, taktik, dan modus operandi yang semakin berkembang, serta simulasi interaktif dan latihan praktikal. Para peserta juga akan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai aspek psikologi di sebalik scam, termasuk cara penipu mengeksploitasi kepercayaan, situasi terdesak, dan emosi untuk memperdaya mangsa serta langkah-langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan scam. Dengan pemahaman ini, penjawat awam dapat mewujudkan program kesedaran dan advokasi keselamatan dalam talian yang lebih efektif.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, "Usaha memperkasa penjawat awam untuk memahami dan mengenali taktik scam serta risiko digital adalah penting untuk menyebar dan memperluaskan pengetahuan keselamatan dalam talian secara meluas. Penjawat awam dari kementerian-kementerian ini mampu mewujudkan program kesedaran yang bersasar, mendidik, dan menghasilkan kesan berganda kepada kumpulan masyarakat yang mereka sering berinteraksi seperti golongan pekerja, warga emas, komuniti berpendapatan rendah, dan juga pelajar."

"Kita memerlukan peringatan yang berterusan tentang pelbagai ancaman dalam talian, terutamanya berkenaan scam kerana walaupun terdapat kesedaran adalah tinggi, masih terdapat jurang dalam pemahaman rakyat tentang cara mengambil tindakan pencegahan. Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 kami baru-baru ini mendedahkan bahawa walaupun 85% rakyat Malaysia sedar tentang scam dalam talian, hampir 60% pernah mengalami atau mengenali seseorang yang mengalami scam. Jadi, melalui bengkel intensif ini, kami bukan sahaja mendidik tetapi juga membina suara kolektif dalam kalangan barisan hadapan untuk menentang scam dan bahaya dalam talian. Kami percaya para penjawat awam ini boleh menjadi komuniti advokasi yang dinamik untuk mendorong perubahan positif dalam usaha memerangi scam dan membina masyarakat digital yang dipercayai."

Sebagai komitmen syarikatnya untuk membina masyarakat digital yang inklusif, mampan, dan dipercayai, CelcomDigi baru-baru ini telah melatih lebih 30 pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, dan penyampai radio untuk memperluaskan kesedaran keselamatan dalam talian dan scam melalui platform masing-masing yang mempunyai jangkauan yang luas. CelcomDigi telah melancarkan pelbagai kempen anti-scam dengan kerjasama agensi penguatkuasa, agensi kerajaan, dan NGO termasuk jerayawara kesedaran peringkat kebangsaan di seluruh negara serta menerbitkan risalah-risalah dalam bentuk infografik yang mudah difahami dan buku panduan yang boleh dimuat turun.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai tip keselamatan internet dan risalah yang boleh dimuat turun, lawati portal Safe Internet CelcomDigi.