02/23/2026 | Press release | Distributed by Public on 02/23/2026 10:08
Posted on 23 February 2026.
USM PULAU PINANG, 23 Februari 2026 - Kepakaran anak jati Malaysia, khususnya Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang genetik terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila cadangan pengintegrasian pendidikan genetik di peringkat sekolah rendah diketengahkan dalam forum global berprestij di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, baru-baru ini.
Cadangan itu dibentangkan oleh akademia daripada Pusat Genom Manusia, Profesor Dr. Zilfalil Alwi yang juga profesor genetik perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dalam Mesyuarat Tahunan Global Alliance on the Science of Learning for Education (GSoLEN) yang berlangsung pada Disember lalu.
Beliau yang turut menjadi Penyandang UNESCO Chair on Human Genetics of Thalassaemia, membuat pembentangan bertajuk "Curriculum Mapping for Genetics Education in Primary Schools", yang menekankan kepentingan membina literasi genetik sejak sekolah rendah, sejajar dengan perkembangan pesat bidang genetik yang kini menjadi tunjang kepada penyelidikan bioperubatan dan perubatan jitu (precision medicine).
Pendekatan perubatan jitu membolehkan pencegahan, diagnosis dan rawatan disesuaikan mengikut profil genetik individu, namun tahap kefahaman masyarakat terhadap konsep asas genetik masih terhad.
Menurut Zilfalil, literasi genetik perlu dibina sejak awal agar generasi masa hadapan bukan sahaja memahami sains, malah bersedia menghadapi perubahan landskap kesihatan global.
"Literasi genetik perlu dibina sejak sekolah rendah supaya generasi akan datang bukan sahaja memahami sains, tetapi bersedia menghadapi era perubatan jitu secara berpengetahuan dan bertanggungjawab," katanya ketika membentangkan cadangan tersebut.
UNESCO Chair on Human Genetics of Thalassaemia, selaras dengan Bahagian Dasar Sains dan Sains Asas UNESCO, mencadangkan supaya konsep genetik yang bersesuaian dengan umur diperkenalkan secara berstruktur di peringkat sekolah rendah.
Usaha ini bukan bertujuan melahirkan saintis di bidang genetik, sebaliknya membantu murid memahami konsep asas pewarisan, kesihatan dan variasi genetik.
"Pendidikan genetik bukan untuk melahirkan saintis cilik, tetapi untuk membentuk masyarakat yang celik kesihatan dan mampu membuat keputusan bermaklumat," jelas beliau.
Pendekatan tersebut amat relevan khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), di mana penyakit warisan seperti talasemia masih menjadi cabaran kesihatan awam yang signifikan.
Tambah beliau, pendedahan awal terhadap pengetahuan genetik dan kesihatan diyakini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan saringan, pencegahan serta pilihan kesihatan yang bertanggungjawab.
"Seiring peralihan sistem kesihatan ke arah perubatan jitu, literasi genetik dilihat sebagai keperluan strategik bagi memastikan masyarakat turut serta dalam perbincangan berkaitan isu etika, privasi data, nilai budaya dan keadilan akses kepada kemajuan perubatan.
"Ilmu saintifik tidak boleh kekal di makmal atau dokumen dasar; ia mesti diterjemahkan ke bilik darjah secara inklusif, berasaskan bukti dan berorientasikan masa hadapan," tambahnya.
Cadangan yang diketengahkan di GSoLEN itu meletakkan pendidikan genetik di peringkat sekolah rendah bukan sekadar sebagai penambahbaikan kurikulum, tetapi sebagai pelaburan pembangunan kapasiti global. Dengan menyemai pengetahuan genetik sejak awal, sistem pendidikan berupaya melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi dunia yang semakin dipengaruhi oleh kemajuan biologi, teknologi dan dasar kesihatan.
Mesyuarat GSoLEN yang menghimpunkan penyelidik, pendidik, pembuat dasar dan organisasi antarabangsa itu turut menekankan tema "knowledge brokering", iaitu usaha menterjemah dapatan penyelidikan kepada strategi yang boleh dilaksanakan dalam bilik darjah dan dasar pendidikan, sekali gus memperkukuh hubungan antara sains pembelajaran dan amalan pendidikan sebenar di peringkat global.
Sumber: Profesor Dr. Zilfalil Alwi/Suntingan: Marziana Mohamed Alias