Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/30/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/30/2024 17:32

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK ISLAM PAKISTAN 2 – 4 OKTOBER 2024

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK ISLAM PAKISTAN

2 - 4 OKTOBER 2024

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Islam Pakistan dari 2 hingga 4 Oktober 2024, atas jemputan TYT Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Republik Islam Pakistan sejak menjadi Perdana Menteri pada bulan 2022. Ini juga merupakan perjumpaan rasmi pertama antara kedua-dua Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri akan diiringi YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan; dan YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri akan disambut dengan Majlis Sambutan Rasmi Negara sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat, TYT Shehbaz Sharif. Mesyuarat tersebut dijangka digunakan untuk membincangkan kerjasama dua hala sedia ada serta inisiatif bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Pakistan susulan Perkongsian Strategik yang telah dipersetujui pada tahun 2019. Pertemuan ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.

YAB Perdana Menteri dan TYT Perdana Menteri Pakistan juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran dua dokumen, iaitu antara MATRADE dan Trade Development Authority of Pakistan (TDAP), dan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pakistan Telecommunication Authority (TPA). Acara ini akan disusuli dengan pelancaran tiga buah buku penyair terkenal Pakistan, Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan dari bahasa Farsi, Urdu dan Inggeris, ke Bahasa Melayu. YAB Perdana Menteri juga dijangka diraikan dalam Majlis Makan Tengah Hari Rasmi yang dihoskan oleh TYT Shehbaz Sharif.

YAB Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan di National University of Sciences and Technology (NUST), dan akan dianugerahkan doktor kehormat falsafah oleh universiti tersebut.

YAB Perdana Menteri turut akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Asif Ali Zardari, Presiden Pakistan, yang akan disusuli oleh Majlis Jamuan Negara yang dihoskan oleh TYT Presiden Pakistan. TYT Presiden Pakistan dijangka menganugerahkan darjah kebesaran tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan, kepada YAB Perdana Menteri sewaktu beliau di Istana Presiden.

Pada tahun 2023, jumlah dagangan Malaysia dan Pakistan adalah RM7.84 bilion (USD1.4 bilion), dengan penurunan dagangan sebanyak 18% berbanding RM7.89 (USD1.78 bilion) pada tahun 2022. Dagangan termasuk minyak kelapa sawit, pakaian, tekstil, kimia dan produk berasaskan kimia, dan barangan elektrik dan elektronik. Pakistan merupakan rakan dagangan ke-35 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-31 terbesar dan sumber import ke-41 terbesar. Pakistan juga merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di kalangan negara Asia Selatan.

Malaysia merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Pakistan dan destinasi eksport, dan sumber import ke-15 terbesar.

Pada Jun 2024, terdapat seramai 4,666 pelajar Pakistan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

PUTRAJAYA

30 September 2024