Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

11/20/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/19/2024 20:43

LAWATAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG JAWATANKUASA PUSAT PARTI KOMUNIS REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM KE MALAYSIA 21 – 23 NOVEMBER 2024

LAWATAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG JAWATANKUASA PUSAT

PARTI KOMUNIS REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM KE MALAYSIA

21 - 23 NOVEMBER 2024

TYT To Lam, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 21 hingga 23 November 2024. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024. Setiausaha Agung To Lam akan diiringi oleh Isteri, Puan Ngo Phuong Ly; Ahli-ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat; Bui Thanh Son, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri; menteri-menteri, dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan Parlimen Vietnam.

Setiausaha Agung To Lam akan disambut oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam Majlis Sambutan Rasmi, diikuti dengan Mesyuarat Dua Hala. Perbincangan akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital, dan komunikasi maklumat.

Kedua-dua Pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dalam Memperkukuh Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); dan Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dengan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Setiausaha Agung To Lam turut dijadual bertemu dengan Yang Berhormat Senator Dato' Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Negara; dan Yang Berhormat Tan Sri Dato' Dr Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, di Parlimen Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menerima lawatan daripada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN. Lawatan rasmi ini akan menambah nilai kepada hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, secara dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik, serta dalam ASEAN.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam ASEAN. Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam direkodkan sebanyak RM80 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan pelaburan berjumlah USD13.1 bilion.

PUTRAJAYA

20 November 2024