Universiti Sains Malaysia

01/11/2026 | Press release | Distributed by Public on 01/10/2026 10:30

USM BERI PENDEDAHAN KEPADA USAHAWAN MIKRO MELALUI PEMINDAHAN ILMU DAN TEKNOLOGI PENYELIDIKAN

Posted on 11 January 2026.

PULAU PINANG, 10 Januari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen dalam memperkukuh kelangsungan perniagaan penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro melalui Program Usahawan MADANI 2026 yang dilaksanakan baru-baru ini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan sokongan pembiayaan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) Pulau Pinang.

Program tersebut menampilkan Forum Suara Penjaja, Peniaga Kecil dan Usahawan Pulau Pinang yang menjadi platform peserta mengutarakan cabaran sebenar termasuk kekangan modal, keperluan pendigitalan dan akses pasaran terhad.

Forum turut menghimpunkan panel berpengalaman terdiri daripada Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Usahawan Alumni USM, Nazar Yamat, dan tokoh pembangunan keusahawanan, Norizan Shariff yang menawarkan pandangan akademik, input praktikal dan inspirasi dalam mengemudi landskap perniagaan mikro.

Sesi perkongsian agensi dan institusi kewangan turut diadakan dengan penglibatan Agrobank, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Penang Halal International (PHI), Bank Simpanan Nasional (BSN), Penang Youth Development Corporation (PYDC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Islam Malaysia Berhad, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta TEKUN Nasional Negeri Pulau Pinang.

Kesemua pihak yang terlibat memberi pendedahan kepada peserta mengenai sokongan praktikal, pembiayaan, pematuhan dan akses peluang pembangunan perniagaan.

Dalam ucapan perasmian, Ahli Lembaga Gabenor USM, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, kejayaan usahawan tidak hanya ditentukan usaha individu tetapi turut dipacu sokongan ilmu, peralatan dan jaringan.

Beliau turut menyampaikan kit perniagaan digital kepada peserta bagi memperkukuh keupayaan mereka mengaplikasi ilmu digital, membina jenama serta mengurus operasi dengan lebih profesional.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, dan wakil pembiaya dana, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi ICU Pulau Pinang, Nur Atiqah Ariffin, sebagai simbol kerjasama erat pihak akademia dan agensi kerajaan dalam menyokong keupayaan ekonomi usahawan mikro negeri ini.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula turut memberikan pandangan berkenaan program Usahawan Madani Pulau Pinang 2026.

Beliau turut menekankan komitmen USM di bawah agenda APEX untuk memperkasakan golongan terkebawah melalui pemindahan ilmu dan teknologi hasil penyelidikan universiti, dengan matlamat menambah pendapatan, meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang pekerjaan.

Universiti Sains Malaysia published this content on January 11, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on January 10, 2026 at 16:30 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]