Universiti Sains Malaysia

04/24/2026 | Press release | Distributed by Public on 04/23/2026 21:30

USM, USU PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU TEROKA MODEL SOKONGAN OKU MELALUI FGD

Posted on 24 April 2026.

USM, PULAU PINANG, 24 April 2026 - Kerjasama strategik antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Sumatera Utara (USU) terus diperkukuh apabila kedua-dua pihak meneroka model pemantapan sistem sokongan rakan sebaya serta pembangunan model perkhidmatan dan dasar yang lebih inklusif bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kolaborasi berkenaan dilaksanakan menerusi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) secara dalam talian yang melibatkan ahli akademik, pelajar dan pihak berkepentingan daripada kedua-dua universiti.

Inisiatif di bawah Pasukan Petugas Pencegahan dan Pengendalian Keganasan (PPK) USU itu turut bertujuan memperhalusi pendekatan sokongan sedia ada, khususnya dalam konteks kesejahteraan pelajar dan komuniti OKU.

Wakil USM daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Mohd Haizzan Yahaya berkata, sesi berkenaan turut disertai wakil USU iaitu Dr. Husni Thamrin, Dr. Hairani Siregar, Dr. Meutia Nauly dan Suri Mutia Siregar, selain kumpulan pelajar serta sukarelawan daripada Pasukan Petugas PPK USU.

Menurut beliau, Pasukan Ekuiti USU telah membentangkan dapatan daripada dua sesi FGD terdahulu yang melibatkan rakan strategik setempat.

Antara lain, dapatan itu menekankan keperluan pengukuhan struktur institusi dalam menangani isu keganasan serta pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih menyeluruh bagi menyokong kebajikan pelajar OKU di Sumatera Utara.

Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi Model Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) USM yang disifatkan sebagai antara rujukan utama dalam memperkasakan sistem sokongan OKU di peringkat universiti.

Menurut Mohd Haizzan, di bawah pimpinan Dr. Syazwani Drani, PPDK USM telah berkembang daripada sebuah pusat bantuan khusus untuk anak-anak kakitangan universiti kepada pusat perkhidmatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

"Keberkesanan model ini dipacu oleh pendekatan berasaskan data yang membolehkan intervensi sokongan dilaksanakan secara lebih tepat, selain disokong pembiayaan yang stabil daripada pihak kerajaan dan pelbagai institusi lain," katanya.

Beliau menambah, PPDK USM turut menggabungkan kepakaran tenaga kerja profesional bersama penglibatan pelajar, khususnya dalam bidang kerja sosial, psikologi, kaunseling dan komunikasi melalui latihan industri, sekaligus menjadikannya antara model rujukan di peringkat nasional.

Perbincangan FGD itu turut menyentuh aspek dasar, kerahsiaan dan prosedur siasatan, termasuk komitmen USM dalam memastikan akses kepada keadilan yang setara kepada semua individu, termasuk golongan OKU, khususnya dalam kes berkaitan keganasan.

Walaupun rangka dasar khusus berkaitan perkhidmatan OKU di peringkat universiti masih dalam proses pemerkasaan, USM kekal berpandukan peruntukan undang-undang negara yang menekankan kerjasama rentas sektor serta peranan keluarga dalam perlindungan individu.

Bagi menjamin integriti proses, setiap pelaporan dikendalikan melalui platform sulit yang selamat, manakala siasatan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak dengan jaminan kerahsiaan yang ketat sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, perbincangan berkenaan turut merumuskan bahawa FGD tersebut telah memberikan input bermakna kepada USU dalam merangka model perkhidmatan yang lebih responsif dan praktikal.

Usaha ini bukan hanya tertumpu kepada penambahbaikan infrastruktur, sebaliknya merupakan langkah strategik ke arah pembinaan ekosistem kampus yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk keganasan.

Matlamat jangka panjang kerjasama ini adalah untuk mewujudkan persekitaran akademik yang benar-benar inklusif, sekali gus membolehkan setiap warga kampus berkembang dalam suasana yang harmoni dan terlindungi.

Teks dan Foto: Dr. Mohd Haizzan Yahaya, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia published this content on April 24, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on April 24, 2026 at 03:30 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]