04/07/2025 | Press release | Distributed by Public on 04/07/2025 17:15
MESYUARAT KHAS SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN MENGENAI
HAK ASASI MANUSIA (AICHR) DI PULAU PINANG, MALAYSIA
8 - 10 APRIL 2025
Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) akan mengadakan Mesyuarat Khas 1/2025 dari 8 hingga 10 April 2025 di Pulau Pinang, Malaysia. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang kedua di bawah kepimpinan TYT Edmund Bon Tai Soon, Wakil Malaysia ke AICHR. Mesyuarat ini akan menghimpunkan kesemua Wakil AICHR (termasuk Wakil Timor-Leste ke AICHR sebagai pemerhati) dan pegawai-pegawai dari Sekretariat ASEAN.
Agenda utama mesyuarat termasuk perbincangan mengenai perkembangan terkini di rantau ini, khususnya gempa bumi dahsyat pada 28 Mac yang telah memberi kesan besar kepada penduduk di Myanmar dan Thailand. AICHR akan meneliti langkah-langkah tuntas yang boleh diambil bagi menyokong respon yang menyeluruh dan berkesan di peringkat ASEAN terhadap bencana ini.
Turut menjadi tumpuan utama ialah sesi rundingan antara AICHR dan Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Alam Sekitar (ASOEN) pada 8 April 2025 bagi memuktamadkan teks Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan. Dialog bersejarah ini akan didahului dengan lawatan bersama ke Pusat Kajian Marin dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berkongsi ilmu serta amalan terbaik mengenai kelestarian alam sekitar dan langkah menangani perubahan iklim.
Suruhanjaya ini juga akan meneruskan perbincangan mengenai cadangan Malaysia bagi mengusulkan satu Deklarasi ASEAN mengenai hak kepada keamanan dan pembangunan (yang merangkumi aspek sosial, budaya, politik dan ekonomi), pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan - keutamaan di bawah tema Pengerusi ASEAN oleh Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".
Satu inisiatif bagi membangunkan hala tuju dan kerangka konsep ASEAN berkaitan keamanan serta pencegahan, pengurusan dan transformasi konflik turut akan dibincangkan dalam mesyuarat ini.
Selain itu, AICHR akan turut membincangkan hal-hal institusi dan operasi yang bertujuan memperkukuh keberkesanan serta mandatnya dalam memajukan hak asasi manusia di rantau ASEAN.
PUTRAJAYA
7 April 2025