06/09/2025 | Press release | Distributed by Public on 06/08/2025 19:00
LAWATAN RASMI
PRESIDEN REPUBLIK POLAND KE MALAYSIA
9-11 JUN 2025
TYT Andrzej Duda, Presiden Republik Poland akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 9 hingga 11 Jun 2025. Lawatan ini merupakan lawatan julung kali beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Republik Poland pada 6 Ogos 2015. Lawatan ini berlangsung pada waktu yang bermakna, bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 serta Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) dari Januari hingga Jun 2025. Presiden Duda akan diiringi oleh pasangan beliau, Puan Agata Kornhauser-Duda, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Presiden Duda akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 10 Jun 2025, diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan YAB Perdana Menteri bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian dan sektor halal serta agrokomoditi. Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Bagi meraikan Presiden Duda dan delegasi, YAB Perdana Menteri akan menghoskan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana selepas mesyuarat tersebut.
Presiden Duda turut dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson, dan menyampaikan syarahan awam di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
Lawatan ini melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati dan kerjasama yang erat, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971. Pada tahun 2024, Poland merupakan rakan dagang ke-8 terbesar Malaysia dalam kalangan negara EU, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 19.5% kepada RM5.66 bilion berbanding tahun 2023. Eksport utama Malaysia merangkumi produk elektrik dan elektronik; produk getah; serta jentera, peralatan dan alat ganti, manakala import dari Poland pula terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti; produk elektrik dan elektronik; serta kelengkapan pengangkutan.
PUTRAJAYA
9 Jun 2025