Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/18/2025 | Press release | Distributed by Public on 04/17/2025 18:10

MALAYSIA MENEMPATKAN HOSPITAL MEDAN DI MYANMAR UNTUK MENYOKONG USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN

MALAYSIA MENEMPATKAN HOSPITAL MEDAN DI MYANMAR UNTUK

MENYOKONG USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan serta bagi menzahirkan komitmen Kerajaan dalam menyalurkan bantuan segera susulan gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar baru-baru ini, sebuah hospital medan lengkap telah dihantar bagi menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada komuniti yang terjejas.

Misi ini, yang diketuai oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri, bertujuan untuk memastikan mobilisasi yang pantas dan penyampaian bantuan kesihatan yang berkesan ke kawasan yang mengalami kekurangan perkhidmatan perubatan yang kritikal. Hospital medan tersebut telah dihantar ke Myanmar menaiki dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 430 pagi, 18 April 2025.

Hospital medan ini dilengkapi dengan unit rawatan kecemasan dan kemudahan pembedahan, serta disokong oleh pasukan perubatan terlatih seramai 70 orang yang merangkumi doktor, jururawat dan kakitangan sokongan.

Hospital medan ini akan ditempatkan di bandar Sagaing dan akan beroperasi selama 30 hari dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, adil dan berkesan, khususnya kepada kumpulan yang dipindahkan dan golongan rentan.

Inisiatif ini menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan kesejahteraan jiran-jirannya yang sedang dilanda kesusahan. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berbangga untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam saat yang mencabar ini, dengan menyalurkan bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa di kawasan yang paling memerlukannya.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi bantuan kemanusiaan Malaysia yang lebih luas serta mencerminkan komitmen bersama ASEAN terhadap keamanan, kestabilan dan kebajikan semua Negara Anggota.

PUTRAJAYA

18 April 2025