Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

01/22/2026 | Press release | Archived content

MALAYSIA MENGECAM KERAS PEMBUNUHAN TERKINI ORANG AWAM DI GAZA

MALAYSIA MENGECAM KERAS PEMBUNUHAN TERKINI ORANG AWAM DI GAZA

Malaysia mengecam keras serangan oleh rejim Israel di Gaza yang telah mengakibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan wartawan.

Serangan tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, serta satu pencabulan yang jelas terhadap perjanjian gencatan senjata yang diumumkan oleh TYT Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20-perkara (20-point Peace Plan) pada 29 September 2025.

Malaysia menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ini bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang antarabangsa. Serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta menjejaskan keselamatan dan akses kepada perkhidmatan asas tidak boleh diterima sama sekali dan membantutkan usaha ke arah meredakan ketegangan, demi mencapai keamanan dan kestabilan.

Malaysia terus menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia terus menyeru agar penindasan, kekejaman dan pembunuhan keatas rakyat Palestin dihentikan serta merta, serta agar semua pihak terlibat kembali komited kearah mencapai penyelesaian yang adil dan keamanan yang berkekalan di Palestin.

PUTRAJAYA

22 January 2026

Ministry of Foreign Affairs of Malaysia published this content on January 22, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on January 27, 2026 at 13:12 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]