Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/27/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/26/2024 19:14

MALAYSIA MENYERU GENCATAN SENJATA DI LUBNAN

MALAYSIA MENYERU GENCATAN SENJATA DI LUBNAN

Malaysia amat bimbang dengan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di Lubnan yang telah meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat.

Malaysia menyeru agar konflik ini dihentikan dengan serta-merta bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau tersebut.

Sebagai menyokong usaha diplomatik untuk menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan Kenyataan Bersama 25 September 2024 oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Qatar, yang menggesa gencatan senjata segera, selaras dengan Resolusi UNSC 1701 (2006).

Malaysia dengan tegas menggariskan keperluan melaksanakan Resolusi UNSC 2735 (2024) untuk menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza.

Malaysia menegaskan komitmen untuk mempromosikan keamanan, dialog, dan kerjasama dalam mencapai keadilan, keselamatan serta keamanan antarabangsa. Malaysia terus menyokong semua usaha bagi tujuan mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlangsung.

PUTRAJAYA

26 September 2024