Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/13/2025 | Press release | Distributed by Public on 04/13/2025 17:21

HASIL LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK TÜRKIYE 10 – 13 APRIL 2025

HASIL LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK TÜRKIYE

10 - 13 APRIL 2025

YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri telah mengadakan lawatan kerja ke Antalya, Republik Türkiye dari 10 hingga 13 April 2025 bagi menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) kali Ke-4.

YB Timbalan Menteri Luar Negeri merupakan salah seorang ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk "ASEAN's Evolving Role at Regional and Global Levels". Ahli-ahli panel yang lain adalah Puan Yang Terutama A Berris Ekinci, Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Türkiye; dan Dr Hatice Çelik, Profesor Madya dari Social Sciences University of Ankara.

Dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi ISIS Malaysia, sesi tersebut telah menyaksikan kenyataan YB Timbalan Menteri Luar Negeri mengenai peranan utama Malaysia dalam memupuk kepercayaan dan keterangkuman dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN. Beliau menekankan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN terus memainkan peranan bagi menghubungkan rantau ini, memperkukuh dialog, kerjasama dan persefahaman bersama. Malaysia komited untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN dan memastikan ia kekal sebagai pemacu utama dalam hal ehwal serantau, dan pada masa yang sama mendukung prinsip neutral dan berkecuali.

Beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa-kuasa besar dunia, dengan mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang dan berprinsip, walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat. Dalam menangani ruang lingkup global yang sentiasa berkembang dan selalunya tidak menentu, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kesepaduan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN serta meningkatkan daya tahan, kerelevanan dan kepekaan ASEAN terhadap cabaran serantau dan global.

Semasa di sela-sela ADF 2025, YB Timbalan Menteri Luar Negeri turut mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawat beliau termasuk Tuan Yang Terutama Khuon Phon Rattanak, Setiausaha Negara di Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja; Tuan Yang Terutama Ali Mohamed Omar, Menteri Negara untuk Hal Ehwal Luar Negeri Republik Persekutuan Somalia; Puan Yang Terutama Thandi Moraka, Timbalan Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Republik Afrika Selatan; dan Puan Yang Terutama A. Berris Ekinci, Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Türkiye.

YB Timbalan Menteri Luar Negeri juga berkesempatan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Dr. Shaya Mohsin Mohamed Zindani, Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Republik Yaman. Perbincangan tertumpu kepada hubungan dua hala, kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, isu-isu serantau dan antarabangsa, khususnya situasi di Timur Tengah.

YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan berlepas ke Baku, Republik Azerbaijan, dari 14 hingga 16 April 2025 untuk mempengerusikan secara bersama Sesi Rundingan Politik Malaysia-Azerbaijan kali Ke-2.

PUTRAJAYA

13 April 2025