06/09/2025 | Press release | Distributed by Public on 06/09/2025 08:03
MALAYSIA MENZAHIRKAN KEBIMBANGAN MENDALAM
TERHADAP PENAHANAN KRU FLOTILA MADLEEN
Malaysia menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap penahanan kru kapal flotila Madleen, yang sedang melaksanakan misi kemanusiaan secara aman menuju ke Gaza. Tujuan utama misi ini adalah untuk membuka laluan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza, yang terus dizalimi akibat sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel, sehingga menyebabkan kebuluran secara besar-besaran.
Tindakan memintas dan mengganggu kru flotila tersebut jelas menunjukkan tindakan yang disengajakan dan kejam bagi menghalang bantuan kemanusiaan yang akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang paling terjejas - termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga emas.
Sekatan ke atas Gaza merupakan satu bentuk kezaliman yang keji dan tidak dapat diterima oleh nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Malaysia menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dan wajar bersatu menentang tindakan yang melanggar prinsip keadilan, maruah, dan hak asasi manusia ini.
Malaysia sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera mendesak rejim Zionis Israel menghentikan sekatan kejam tersebut dan membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan kepada rakyat Gaza.
PUTRAJAYA
9 Jun 2025