Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/08/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/07/2024 20:46

GENAP SETAHUN KEKEJAMAN REJIM ZIONIS ISRAEL TERHADAP PALESTIN

GENAP SETAHUN KEKEJAMAN REJIM ZIONIS ISRAEL TERHADAP PALESTIN

Tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin. Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari, dan mencederakan 274 lagi-kebanyakannya warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Komuniti hancur, dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.

Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat. Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting, dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.

Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman. Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.

Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini.

Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas, dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin. Masa untuk bertindak telah lama tiba.

Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibukota. Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

PUTRAJAYA

8 Oktober 2024