Ministry of Finance of Malaysia

10/14/2026 | Press release | Archived content

Harga Petrol Tanpa Subsidi Turun 30 Sen Seliter, Diesel Tanpa Subsidi Turun 10 Sen Seliter

Harga Petrol Tanpa Subsidi Turun 30 Sen Seliter, Diesel Tanpa Subsidi Turun 10 Sen Seliter

Siaran Media 14 Oktober 2026

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 30 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi menurun sebanyak 10 sen seliter, bagi tempoh 22 Oktober hingga 28 Oktober 2026.

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.80 seliter (harga 21 Oktober 2026: RM5.10 seliter) Turun 30 sen
RON95 RM4.32 seliter (harga 21 Oktober 2026: RM4.62 seliter) Turun 30 sen
Diesel RM5.07 seliter (harga 21 Oktober 2026: RM5.17 seliter) Turun 10 sen

Meskipun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menyederhana dalam tempoh pengiraan APM.

Penyusutan harga ini didorong oleh jangkaan peningkatan bekalan dari China, disokong oleh pengeluaran berterusan dari negara Asia lain.

Paras harga minyak mentah yang kekal tinggi mencerminkan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik yang berterusan. Dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka terus tidak menentu.

Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini. Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan. Langkah ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.32 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.33 seliter, bersamaan 54% daripada harga tanpa subsidi.

Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.07 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.97 seliter, atau 59% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
21 Oktober 2026

↓ Muat turun: Harga Petrol Tanpa Subsidi Turun 30 Sen Seliter, Diesel Tanpa Subsidi Turun 10 Sen Seliter

Ministry of Finance of Malaysia published this content on October 14, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on October 21, 2026 at 13:06 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]