05/13/2025 | Press release | Distributed by Public on 05/13/2025 17:12
PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI INDIA DAN PAKISTAN
Kementerian Luar Negeri memantau rapat perkembangan di rantau Asia Selatan, terutamanya keadaan keselamatan rakyat Malaysia di India dan Pakistan. Kementerian ini berhubung secara berterusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad, serta pejabat-pejabat Konsulat di negara-negara berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berkenaan turut berhubung dengan rakyat Malaysia di kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan mereka. Ini meliputi bantuan konsular dan khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan ruang udara dan gangguan operasi syarikat-syarikat penerbangan melibatkan 32 lapangan terbang di bahagian barat dan utara India, dan lapangan terbang Islamabad, Lahore dan Karachi di Pakistan.
Di India, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai sedang memberikan bantuan kepada lebih 350 orang rakyat Malaysia yang sedang melancong dan bekerja di kawasan-kawasan terjejas.
Di Pakistan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi telah giat membantu dari segi penginapan, kebajikan serta penyelarasan perjalanan rakyat Malaysia yang terkesan melalui pelbagai laluan. Sehingga 13 Mei 2025, lebih 100 orang rakyat Malaysia telah dibantu, dengan kebanyakan daripada mereka sama ada telah berlepas pulang atau dijadualkan berlepas pulang dalam masa terdekat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, terutamanya yang berada berhampiran kawasan sempadan, adalah dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat. Rakyat Malaysia juga digesa untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan sempadan dan kekal berada di kawasan yang lebih selamat.
Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, rakyat Malaysia yang berada dalam keadaan kecemasan di luar negara boleh berhubung secara langsung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi (waktu pejabat: +9011 2415 9300/9311; selepas waktu pejabat: +90 85955 50564), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (waktu pejabat: +9251 2072900 ext 123/125; selepas waktu pejabat: +923028443021) atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri (waktu pejabat: +603 88874412, +603 88874771; selepas waktu pejabat Bilik Perhubungan 108: +603 88874570).
PUTRAJAYA
13 Mei 2025