Universiti Sains Malaysia

01/11/2026 | Press release | Distributed by Public on 01/10/2026 10:09

USM, KERAJAAN NEGERI PERKASA USAHAWAN MIKRO PULAU PINANG MELALUI PROGRAM USAHAWAN MADANI 2026

Posted on 11 January 2026.

PULAU PINANG, 10 Januari 2026 - Golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro terus diberi tumpuan menerusi pelaksanaan Program Pemerkasaan Penjaja, Peniaga Kecil dan Usahawan Mikro Negeri Pulau Pinang (Program Usahawan MADANI 2026).

Program khas yang bertujuan memperkasa golongan berkenaan adalah anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sokongan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Pulau Pinang, Jabatan Perdana Menteri (ICU ) selaku pembiaya dana.

Program berkenaan dirangka bagi memantapkan ekosistem keusahawanan rakyat melalui peningkatan kemahiran, pembinaan rangkaian strategik serta akses kepada ilmu dan teknologi terkini.

Dalam ucapan perasmian, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Negeri, Dato' Haji Rashidi Zinol menegaskan, kumpulan berkenaan memainkan peranan besar sebagai pemacu ekonomi tempatan , selain menjadi penyumbang penting terhadap pendapatan isi rumah serta penyediaan peluang pekerjaan.

Menurut beliau, para usahawan kecil masih berhadapan kekangan seperti kurang pengetahuan pengurusan, cabaran pendigitalan, akses pembiayaan terhad dan jaringan pasaran sempit yang perlu ditangani melalui usaha berterusan dan pendekatan kolaboratif.

Menerusi pendekatan holistik, program tersebut menggabungkan perkongsian ilmu, pemindahan teknologi, inovasi sosial dan pembinaan rangkaian sokongan bersama agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan industri.

Selari dengan keperluan ekonomi digital, program berkenaan turut memberi fokus kepada pembangunan keupayaan perniagaan dalam talian melalui penglibatan syarikat teknologi berasaskan misi, FunnelEvo.

Peserta dibimbing dalam modul praktikal termasuk Master TikTok Live - Struktur, Skrip dan Teknik Closing, Pengenalan Digital Branding, Content Marketing serta strategi pengurusan dan susulan pangkalan data.

Kerajaan negeri komited menyokong inisiatif pemerkasaan keusahawanan yang membawa impak langsung terhadap pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran dan pengukuhan rangkaian sokongan kepada usahawan tempatan.

Program Usahawan MADANI 2026 dijangka menjadi pemangkin kemunculan lebih ramai usahawan mikro yang berdaya saing, berkembang secara mampan dan menyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri dan negara.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula menegaskan, agenda APEX universiti terus memfokuskan pemerkasaan golongan tersasar melalui pemindahan ilmu dan teknologi berasaskan penyelidikan.

Tambah beliau, ia adalah amat penting bagi membantu mereka menjana pendapatan, meningkatkan taraf hidup dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Teks & Foto: Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, BJIM USM

Universiti Sains Malaysia published this content on January 11, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on January 10, 2026 at 16:09 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]