04/30/2025 | Press release | Distributed by Public on 05/01/2025 17:15
16 ORANG RAKYAT MALAYSIA YANG TERLIBAT DENGAN SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI MYANMAR TIBA DI SEMPADAN NEGARA
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan di Bangkok telah melaksanakan penghantaran pulang kumpulan keempat seramai 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar. Mereka tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 30 April 2025 pukul 4.30 petang, dan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Proses penghantaran pulang yang sama telah dilaksanakan sebelum ini pada 24 Februari 2025 melibatkan 15 rakyat Malaysia, 12 Mac 2025 melibatkan 25 rakyat Malaysia, dan 26 Mac 2025 melibatkan 24 rakyat Malaysia. Setakat ini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 80 rakyat Malaysia, termasuk 16 individu yang tiba pada hari ini.
Kesemua operasi ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama berterusan mereka dalam memudahkan serta mempercepatkan proses penghantaran pulang 16 orang warganegara Malaysia ini.
Kementerian Luar Negeri terus komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negeri sentiasa terpelihara dan akan terus menyediakan bantuan konsular melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negeri kepada mereka yang memerlukan.
PUTRAJAYA
30 April 2025