08/29/2025 | Press release | Archived content
Written on 29 August 2025.
USM PULAU PINANG, 29 Ogos 2025 - Dalam semangat menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68, Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif murni dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada warga kampus untuk dipasang pada kenderaan seperti kereta dan motosikal.
Langkah ini bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga universiti.
Suasana di kampus begitu meriah dan penuh warna-warni, dihiasi dengan semangat cintakan negara yang jelas terpancar pada wajah setiap individu yang menerima bendera.
Rasa bangga, hormat dan kasih terhadap tanah air tercinta begitu mendalam, menjadikan edaran ini lebih daripada sekadar pemberian fizikal; ia adalah simbolik kepada jiwa patriotik yang menyatukan kita semua.
Jalur Gemilang bukan hanya sehelai kain yang berkibar di tiupan angin, tetapi ia merupakan lambang agung perpaduan rakyat Malaysia, kedaulatan negara yang dijunjung tinggi, serta kebanggaan yang tidak ternilai kepada tanah air yang merdeka.
Dengan mengibarkan Jalur Gemilang, kita bukan sahaja memperingati perjuangan para pejuang kemerdekaan yang telah mengorbankan segalanya demi kebebasan negara, tetapi juga menzahirkan rasa syukur yang mendalam serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia yang kita cintai.
Marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di setiap ruang kehidupan sama ada di pejabat, di kediaman, mahupun pada kenderaan yang kita pandu sebagai tanda kasih, hormat dan kesetiaan yang tulus kepada negara tercinta.
Dengan semangat bersatu hati dan saling menghormati, kita mampu memperkukuh asas keamanan, mempererat keharmonian serta menjamin kemakmuran tanah air untuk diwarisi oleh generasi masa depan yang lebih gemilang.
Semoga semangat kemerdekaan yang membara ini terus menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional dalam usaha kita membina Malaysia MADANI yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia!
Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan semangat juang yang tinggi!
Teks: Che Ani Mohd Desa, Jabatan Keselamatan USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe