Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

05/14/2025 | Press release | Distributed by Public on 05/14/2025 17:27

MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PENINGKATAN OPERASI KETENTERAAN DI GAZA

MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PENINGKATAN OPERASI

KETENTERAAN DI GAZA

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu oleh rejim Zionis Israel untuk terus meningkatkan serangan ketenteraan di Gaza, meskipun usaha ke arah gencatan senjata sedang giat dijalankan.

Tindakan rejim Zionis Israel yang secara terang-terangan meneruskan pembunuhan beramai-ramai, menggunakan kelaparan sebagai senjata, serta pengusiran besar-besaran rakyat Gaza atas nama "pemindahan secara sukarela", sambil mendesak negara-negara lain menerima pelarian Palestin yang diusir, merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.

Hampir 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya telah berulang kali diusir dari kediaman mereka, terus berhadapan dengan kebuluran, pengeboman berterusan, dan ancaman pengusiran kekal. Hasrat Israel untuk mengekalkan kehadiran ketenteraan jangka panjang di Gaza hanya mengukuhkan lagi dasar penjajahan terhadap wilayah Palestin.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menuntut agar rejim Israel menghentikan kekejaman ini dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Malaysia terus menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka yang sah untuk kebebasan, maruah dan pembentukan negara sendiri. Malaysia menegaskan pendirian prinsipnya bahawa Palestin mesti diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, serta diberikan keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara yang setaraf.

PUTRAJAYA

14 Mei 2025

Ministry of Foreign Affairs of Malaysia published this content on May 14, 2025, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on May 14, 2025 at 23:28 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at support@pubt.io