06/05/2025 | Press release | Distributed by Public on 06/04/2025 21:09
MALAYSIA KESAL DENGAN KEGAGALAN BERULANG KALI MAJLIS KESELAMATAN PBB
UNTUK BERTINDAK TERHADAP SITUASI DI GAZA
Hari ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah gagal meluluskan satu resolusi yang menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, dan penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun resolusi tersebut mendapat sokongan majoriti yang jelas negara anggotanya. Malaysia amat kesal dan kecewa dengan kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan menangani salah satu tragedi kemanusiaan yang paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, ekoran penggunaan kuasa veto.
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, tindakan genosid dan menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.
Masyarakat antarabangsa perlu meneruskan usaha-usaha untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah.
Rejim Zionis Israel seharusnya sedar bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Pendekatan ini kekal sebagai pendirian berprinsip Malaysia dan selaras dengan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa.
PUTRAJAYA
5 Jun 2025