Ministry of Finance of Malaysia

08/05/2026 | Press release | Distributed by Public on 08/05/2026 08:58

Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Bagi Tempoh 6 Hingga 12 Ogos 2026

Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Bagi Tempoh 6 Hingga 12 Ogos 2026

Harga Minyak 05 Ogos 2026

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing menurun 5 sen seliter bagi tempoh 6 Ogos hingga 12 Ogos 2026.

Walaupun harga minyak mentah Brent melepasi AS$90 setong pada minggu lalu, penurunan pada penghujung tempoh pengiraan harga APM telah menjurus kepada pengurangan harga petroleum tanpa subsidi.

Keadaan geopolitik yang kekal tidak menentu, termasuk perkembangan berkaitan usaha perdamaian yang berubah dari hari ke hari, terus menyebabkan turun naik ketara dalam pasaran minyak dunia. Harga petroleum kekal sensitif terhadap risiko gangguan bekalan sekiranya laluan perkapalan utama, khususnya Selat Hormuz dan Laut Merah, terjejas susulan peningkatan konflik.

Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia.

Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin. Subsidi bersasar terus tersedia melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95), BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Namun begitu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 6 Ogos hingga 12 Ogos 2026 adalah seperti berikut:


Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.35 seliter (harga 5 Ogos 2026: RM4.40 seliter) Turun 5 sen
RON95 RM3.77 seliter (harga 5 Ogos 2026: RM3.82 seliter) Turun 5 sen
Diesel RM4.57 seliter (harga 5 Ogos 2026: RM4.62 seliter) Turun 5 sen


Harga petroleum bersubsidi
yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI MADANI Diesel BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Muat turun infografik

Muat turun infografik

Kementerian Kewangan
Putrajaya
5 Ogos 2026

↓ Muat turun: Siaran Media - Harga Petroleum 05082026

Ministry of Finance of Malaysia published this content on August 05, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on August 05, 2026 at 14:58 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]