Universiti Sains Malaysia

05/19/2026 | Press release | Distributed by Public on 05/18/2026 18:33

PENGETUA PULAU PINANG DIDEDAH KEPIMPINAN AI MELALUI SEMINAR PROKAI DI USM

Posted on 19 May 2026.

USM PULAU PINANG, 19 Mei 2026 - Seramai 81 pengetua sekolah dari seluruh Pulau Pinang menyertai Seminar Kepimpinan AI dalam Pendidikan (ProKAI) yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Murad Mohd Noor, Sains@USM, di sini, baru-baru ini.

Seminar itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Pulau Pinang serta Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Majlis perasmian disempurnakan Dekan PPIP, Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman. Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa pengetua perlu menjadi contoh teladan dalam mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah.

Turut berucap ialah Naib Yang Dipertua MPSM yang menjalankan tugas Yang Dipertua, Ustaz Suhaimi Othman, yang menyifatkan kolaborasi antara USM dan MPSM sebagai satu inisiatif signifikan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

Seminar itu dianjurkan di bawah Geran Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial menerusi projek Kepimpinan AI (ProKAI) yang diketuai pensyarah PPIP USM, Prof. Madya Dr. Mohd Ali Samsudin.

Antara pengisian utama seminar termasuk perkongsian mengenai program dan aktiviti kepimpinan AI, demonstrasi penggunaan AI dalam menyokong kecemerlangan akademik serta sesi refleksi bersama pengetua yang hadir.

Dalam sesi demonstrasi, peserta dipertontonkan penggunaan teknologi Agen AI dalam pembelajaran melalui penglibatan dua pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima.

Pelajar tingkatan empat menggunakan Agen AI sebagai rakan pembelajaran dan tutor bagi subjek Biologi, manakala pelajar Tingkatan Lima memanfaatkan teknologi itu sebagai pembimbing ulang kaji dan pembantu latihan bagi subjek Matematik Tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pendekatan itu memperlihatkan peranan Agen AI sebagai rakan pembelajaran, tutor, pembimbing ulang kaji dan pembantu latihan yang mampu meningkatkan kefahaman serta pencapaian akademik murid.

Sementara itu, Mohd Ali dalam pembentangannya pula mengetengahkan usaha memacu perubahan sekolah berasaskan AI, kepentingan membuat keputusan strategik berkaitan penggunaan AI serta potensinya dalam meningkatkan pencapaian SPM.

Beliau turut menghuraikan konsep "Revolusi Terkini: Agen AI dalam Pendidikan" dengan menjelaskan tiga peranan utama pengetua dalam pelaksanaan AI di sekolah, iaitu sebagai AI Strategist, AI Decision Maker dan AI Leader.

Menurut beliau, sebagai AI Strategist, pengetua berperanan merancang penggunaan AI secara strategik dan menyeluruh, manakala sebagai AI Decision Maker, mereka bertanggungjawab menentukan pemilihan platform atau alat AI yang sesuai mengikut keperluan sekolah.

Katanya, peranan sebagai AI Leader pula menuntut pengetua memimpin perubahan budaya sekolah dengan menggalakkan penerimaan dan penggunaan AI dalam kalangan warga sekolah.

Beliau menegaskan bahawa pengetua yang memahami peranan AI bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya arkitek kepada ekosistem pembelajaran yang lebih pintar dan responsif.

Penganjuran seminar itu diharap dapat memperkukuh peranan pengetua sebagai pemimpin instruksional dalam mengintegrasikan AI dalam sistem pendidikan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan di Pulau Pinang.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM

Universiti Sains Malaysia published this content on May 19, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on May 19, 2026 at 00:33 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]