Universiti Sains Malaysia

03/11/2026 | Press release | Distributed by Public on 03/10/2026 21:34

RAMADAN DI USM JADI MEDAN TRANSFORMASI ROHANI DAN PENGUKUHAN KOMUNITI

Posted on 11 March 2026.

USM PULAU PINANG, 11 Mac 2026 - Ketibaan bulan Ramadan sentiasa membawa dimensi yang tersendiri dalam kehidupan masyarakat Islam.

Di Universiti Sains Malaysia (USM), bulan yang mulia ini bukan sekadar menandakan kewajipan berpuasa, bahkan menjadi ruang penting bagi memperkukuh pembinaan rohani, memupuk semangat kebersamaan, dan memperluas jaringan kebajikan dalam kalangan warga universiti.

Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, ketika ditemu bual di pejabat beliau baru-baru ini menjelaskan bahawa Ramadan mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ia hadir sekali setahun dengan nilai dan pengaruh yang berbeza berbanding bulan-bulan lain.

Menurut beliau, Ramadan sering dikaitkan dengan proses transformasi diri yang mendalam.

Sepanjang tempoh ini, umat Islam didorong untuk menilai semula gaya hidup, memperbaiki cara berfikir, dan meningkatkan amalan kebajikan dalam kehidupan seharian.

"Setiap kali kita memasuki Ramadan, harapan utama ialah agar apabila kita keluar daripada bulan ini, kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya," jelas beliau.

Transformasi tersebut turut memberi kesan kepada suasana kehidupan di kampus, khususnya melalui peningkatan aktiviti ibadah, program komuniti, dan pelbagai inisiatif kebajikan yang dianjurkan sepanjang bulan berkenaan.

Persiapan Awal Pusat Islam

Di peringkat pengurusan, suasana Ramadan di USM bermula jauh sebelum ketibaan bulan tersebut.

Pusat Islam telah membuat pelbagai persiapan yang merangkumi perancangan program, penyusunan jadual, dan penyelarasan tenaga sukarelawan bagi memastikan semua aktiviti dapat dilaksanakan dengan teratur.

Juadah Berbuka Puasa untuk 1,500 Orang

Sepanjang Ramadan, aktiviti di Masjid Al-Malik Khalid berlangsung dari pagi hingga ke malam.

Proses penyediaan juadah berbuka puasa, pengurusan program ibadah, dan pelbagai aktiviti komuniti memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat.

Justeru, Ramadan sering dianggap sebagai antara tempoh paling aktif dalam kalendar tahunan Pusat Islam USM.

Antara program utama yang dilaksanakan setiap tahun ialah gotong-royong memasak bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelajar dan komuniti sekitar.

Program ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk warga universiti, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan badan korporat.

USM menyediakan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 1,500 orang setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban warga kampus, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan sesama warga kampus dan juga antara warga kampus dan masyarakat luar serta menyemarakkan nilai keprihatinan dan kesyukuran.

Malah suasana kerjasama ini juga mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi antara nilai utama dalam penghayatan Ramadan.

Menurut Ustaz Zayd, inisiatif seperti ini berperanan penting dalam merapatkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat dan membina jaringan sosial yang lebih kukuh di peringkat universiti.

Penglibatan Mahasiswa dan Sukarelawan yang Begitu Menggalakkan

Sambutan mahasiswa terhadap program-program yang dianjurkan di masjid turut menunjukkan perkembangan yang positif.

Ramai pelajar mengambil bahagian sebagai sukarelawan dalam pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan.

Penglibatan mereka merangkumi program berbuka puasa berjemaah, tadarus al-Quran, qiyamullail serta beberapa inisiatif kebajikan dan kesedaran sosial.

Antara aktiviti yang mendapat sokongan pelajar termasuk kempen pendermaan darah serta usaha memupuk kesedaran terhadap isu pembaziran makanan.

Menurut beliau, mahasiswa sebenarnya memiliki kesediaan yang tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberikan ruang dan peluang untuk terlibat secara aktif.

Ramadan sebagai Pendidikan Sahsiah

Dalam konteks pembangunan sahsiah, Ramadan turut berfungsi sebagai ruang pendidikan yang penting bagi membentuk nilai kemanusiaan dan empati dalam diri pelajar.

Pengalaman berpuasa membuka ruang bagi individu untuk bermuhasabah dan menyedari dengan penuh insaf akan nikmat kehidupan yang dikurniakan.

Keadaan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari juga mengingatkan masyarakat tentang realiti kehidupan sebahagian insan di dunia yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan.

Kesedaran ini diharap dapat memupuk sikap prihatin dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kampus.

Peranan Universiti dan Masjid sebagai Pusat Komuniti

Ustaz Zayd turut menekankan bahawa institusi universiti mempunyai potensi besar sebagai penghubung antara sektor korporat dan institusi sosial dalam pelaksanaan program kebajikan masyarakat.

Peranan masjid pada masa kini semakin berkembang sebagai pusat komuniti yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.

Melalui kerjasama strategik antara universiti, badan korporat, dan institusi sosial, pelbagai inisiatif kebajikan serta program pendidikan dapat dilaksanakan dengan skala yang lebih luas.

Beliau berpandangan bahawa hubungan ini boleh diperkukuh lagi melalui penglibatan alumni universiti yang telah berjaya dalam pelbagai bidang, khususnya dalam menyokong program pembangunan komuniti yang dianjurkan oleh Pusat Islam.

Dari sudut visi jangka panjang, Pusat Islam USM berhasrat untuk memperkaya pengalaman Ramadan dalam kalangan warga universiti agar ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pelajar.

Kenangan Ramadan dan Nilai Kebersamaan

Menurut beliau, ramai penyumbang kepada program masjid pada hari ini sebenarnya mempunyai kenangan yang kuat terhadap pengalaman Ramadan semasa mereka menuntut di universiti.

Kenangan tersebut sering dikaitkan dengan suasana kebersamaan dalam penyediaan makanan, berbuka puasa secara berjemaah, dan penglibatan aktif dalam aktiviti masjid.

Pengalaman sebegini diharapkan dapat terus diperkukuh agar generasi pelajar masa kini turut merasai nilai kebersamaan yang sama.

Inisiatif Baharu: Rakan Ramadan USM

Bagi memperluas penyertaan mahasiswa, Pusat Islam turut merancang untuk memperkenalkan inisiatif baharu yang dikenali sebagai Rakan Ramadan USM.

Melalui pendekatan ini, persatuan-persatuan pelajar akan digalakkan untuk mengemukakan cadangan program yang boleh dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Langkah ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mencetuskan idea baharu dan melaksanakan aktiviti yang selari dengan agenda universiti, termasuk usaha berkaitan kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), seperti inisiatif Kelaparan Sifar (Zero Hunger).

Sepanjang pengalaman menguruskan program Ramadan di masjid, Ustaz Zayd mengakui bahawa antara detik yang paling bermakna ialah apabila melihat para pelajar dan anggota komuniti hadir untuk berbuka puasa secara tertib dan penuh kesyukuran.

Situasi tersebut memberikan kepuasan tersendiri kepada mereka yang terlibat dalam penyediaan juadah, terutamanya apabila makanan yang disediakan merupakan hasil sumbangan pelbagai pihak.

Bagi beliau, pemandangan masyarakat menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama menggambarkan nilai kebersamaan dan semangat saling membantu yang menjadi inti pati penghayatan Ramadan.

Seruan dan Harapan

Mengakhiri pertemuan tersebut, Ustaz Zayd menyeru seluruh warga USM agar memanfaatkan Ramadan sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama ibadah puasa adalah untuk mencapai ketakwaan. Ketakwaan tersebut merangkumi dua dimensi utama, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.

Oleh itu, peningkatan ibadah kepada Allah SWT perlu disertai dengan pengukuhan nilai kemanusiaan melalui amalan bersedekah, membantu golongan yang memerlukan, dan memelihara hubungan silaturahim.

Beliau berharap agar setiap Ramadan yang dilalui membawa perubahan yang positif dan menjadikan setiap individu lebih baik daripada sebelumnya, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat kampus yang lebih berakhlak dan prihatin.

Teks: Privinkumar Jayavanan/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto & Poster: Pusat Islam USM

Universiti Sains Malaysia published this content on March 11, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on March 11, 2026 at 03:34 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]