Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

01/14/2025 | Press release | Distributed by Public on 01/14/2025 17:46

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE UNITED KINGDOM 14 - 19 JANUARI 2025

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE UNITED KINGDOM

14 - 19 JANUARI 2025

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) dari 14 hingga 19 Januari 2025 selepas menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW). Lawatan yang diadakan atas jemputan rakan sejawatnya, TYT Sir Keir Starmer, Perdana Menteri UK, merupakan lawatan pertama beliau ke negara tersebut sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022. Beliau akan diiringi oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; dan YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan TYT Sir Keir Starmer pada 15 Januari 2025. Kedua-dua pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-UK serta membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama, antara lain, dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu, agrikomoditi, serta pelancongan. Kedua-dua Perdana Menteri turut dijangka menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, serta bertukar-tukar pandangan mengenai Hubungan Dialog ASEAN-UK. Selaku Pengerusi ASEAN 2025, YAB Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan usaha ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global.

Program YAB Perdana Menteri sepanjang lawatan kerja ini turut merangkumi pertemuan dengan TYT Sir Lindsay Hoyle, Speaker of the House of Commons; merasmikan dan menyampaikan ucaptama di acara InvestMalaysia and Fireside Talk; serta mengadakan mesyuarat meja bulat dan sesi perbincangan one-on-one bersama ketua-ketua industri. Beliau juga akan merasmikan Auditorium Malaysia di London School of Economics (LSE), diikuti dengan syarahan khas serta sesi bersama diaspora Malaysia di London. Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jawatankuasa Bersama Ekonomi dan Perdagangan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan UK dan Lain-lain Mekanisme Sokongan (MUKJETCO) akan ditandatangani semasa lawatan ini.

Lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke UK mencerminkan hubungan erat serta menyediakan peluang untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara demi manfaat bersama.

Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tunjang utama hubungan Malaysia-UK. Dari Januari hingga November 2024, UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah dengan jumlah dagangan bernilai RM15.30 bilion (USD3.34 bilion). Jumlah eksport direkodkan sebanyak RM7.83 bilion (USD1.71 bilion) manakala jumlah import adalah RM7.47 bilion (USD1.63 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Pada 19 Januari 2025, YAB Perdana Menteri akan berlepas ke Brussels untuk lawatan kerja.

PUTRAJAYA

14 Januari 2025